Sabtu, 13 Februari 2021

Kerana Syurga Itu Mahal Harganya

 Sungguh....syurga itu mahal harganya. Tidak mungkin kita tidak diberi ujian sebelum kita melangkah masuk ke syurga Allah. 

Perjalanan menuju keredhaanNya itu amat sukar, pahit, melukakan dan menyedihkan. Ada ketikanya kita diuji berkaitan dengan keimanan, diambil semula orang yang disayang, diberi sakit yang berpanjangan. Pendek kata, semuanya menuntut kesabaran dan keredhaan. Jangan ada sekelumit pun perasaan berburuk sangka dengan takdir Allah walaupun syaitan tidak berhenti-henti memesongkan aqidah.


Bicara kali ini terlalu sukar untuk dirungkaikan apabila berkaitan dengan ibu yang melahirkan. Kedudukan ibu terlalu istimewa dan tidak boleh dipertikaikan  kerana Allah telah meletakkan darjat seorang ibu terlalu tinggi dan istimewa.  Malah durhaka kepada ibu, disegerakan pembalasannya di dunia. 


"Bolehkah anak merajuk dengan ibu sendiri kerana merasakan diri tidak disayangi?" Satu soalan telah dikemukakan dalam satu majlis ilmu dan jawapan bagi persoalan itu dijawab oleh  ustazah Asni Abu Mansur menyebabkan saya terpempan seketika. Subhanallah, Maha Suci Allah, tinggi sungguh darjat seorang ibu kerana anak tiada hak untuk merajuk pada ibu sendiri. Benarlah Islam mendidik kita agar memartabatkan kedudukan ibu. Saya pinjam kata-kata daripada  ustazah ini untuk meredakan perasaan seorang bekas pelajar saya yang merasakan perkara yang sama. Panjang lebar dia menceritakan kisahnya tentang sikap ibu yang tidak menerima kehadirannya sejak kecil lagi. Dia selalu membayangkan suatu hari nanti, ibunya akan mendepakan kedua-dua belah tangan sebagai isyarat untuk memeluknya seperti cerita-cerita drama yang pernah ditontonnya sebelum ini. Tapi, angan-angan dan harapan itu sedikit demi sedikit hilang ditelan masa dan usia.


Tatkala saya cuba meyakinan dia bahawa tiada ibu yang membenci anaknya dengan pantasnya dia menepis kata-kata saya. 30 tahun sudah cukup baginya untuk membuat penilaian siapa dia di mata ibunya . Dari ayat-ayat yang keluar dari bibirnya,  yakinlah saya betapa parahnya dia menanggung kesedihan atas sikap ibu yang melahirkannya di dunia ini.  Akhirnya saya akur akan semua kenyataan. Sememangnya  tidak ada yang mustahil di dunia ini. 


Menurutnya lagi, erti bahagia mula dikecapi setelah dia berumah tangga. Allah menjodohkannya dengan seorang lelaki yang benar-benar menyayanginya. Cinta sang suami menyebabkan dia tidak lagi mengharapkan kasih keluarga.  Semakin mengharap, semakin sakit dan semakin jauh 'rasa' itu pergi.  Namun, sesekali rasa sedih menyantuni hati.


Dek kerana ingin tahu, saya mencelah juga. Mengapa ibunya sedemikian rupa. Dia sendiri tidak dapat menjawab soalan saya  kerana tidak ada satu ayat pun yang keluar daripada mulut ibu atau ayahnya mengapa dia yang menjadi sasaran sedemikian rupa. Apa yang pasti,  sikap pilih kasih itu jelas kelihatan sejak dia mula boleh berfikir dengan otak yang waras.  Dia memberi contoh-contoh yang jelas dan memang mustahil seorang anak sengaja mereka cerita hanya sekadar menagih simpati manusia. 

Sesekali saya melihat dia menyeka air mata kerana tidak tertanggung menahan kesedihan. Demi Allah, saya sangat memahami penderitaan yang sarat ditanggungnya selama ini. Cuma untuk menyatakannya dengan ayat, mungkin tidak dapat menyakinkannya kerana berkata-kata itu memang mudah. Sejauh mana memahami keadaan itulah yang sukar kerana masyarakat kebiasaanya lebih cenderung menyalahkan anak kerana wujudnya istilah 'anak durhaka' Setiap kali berlaku perselisihan antara anak dan ibu, maka anaklah yang akan jadi sasaran utama. Manusia memang sudah meletakkan awal-awal kesalahan itu sebelum diadili. Mentua dan menantu, pasti mentua lah yang sering dipersalahkan. Nasib ibu tiri pula, tidak pernah terbela walaupun ada saja ibu tiri yang baik hatinya. Bila berlaku penceraian, isteri sahajalah yang tidak pandai menghias diri dan rupa. Begitulah kejamnya hukuman manusia.

 

Saya menarik nafas yang panjang lalu  mengatur bicara. Perkara yang telah berlaku,  pasti tidak terdaya untuk memutar waktu. Semuanya terjadi bukan sekadar ujian malah ia juga boleh memberi pengajaran. Positifkan diri untuk terima semua ini agar ia menjadi garis panduan untuk kita menjadi ibu yang terbaik di mata anak-anak sendiri. Kita cari dan pandang yang baik-baik dalam setiap kesedihan yang melanda. Memang sedih bila kita meratapi kehilangan. Lebih parah lagi, hakikatnya masih ada tapi seperti tiada. Namun, kita tidak berdaya untuk mengubah hati manusia. Serahkan semua pada DIA. Hak kita hanya berdoa. Ini bukan jawapan klise kerana senjata orang mukmin adalah doa. Kuasa doa ini memang hebat. Cuma cepat atau lambat. Kita dituntut untuk bersabar kerana sabar itu memang tidak ada batasnya. 


Allah mentakdirkan sesuatu penuh dengan rahsia disebaliknya. Kalau takdir itu berpihak kepada kita, tentu kita tidak dapat menikmati kemanisan dalam setiap kepahitan yang berlaku. Teruskan pandang kehadapan dan cuba perbaiki setiap kekurangan yang kita alami agar kita menjadi lebih baik untuk masa hadapan. Kita mulakan azam  untuk kita menjadi yang terbaik kerana mungkin Allah telah memilih kita untuk menjadi pendengar setia pada setiap cerita duka.


Kita hanya mampu meletakkan harapan yang tinggi tapi perbuatan untuk merealisasikannya amat terbatas. Bagaimana boleh kita membolak balikkan hati, menukar takdir yang telah tersurat sejak azali? Tiada pilihan yang kita ada setelah puas berusaha. Dan akhirnya kita pasti mencari DIA untuk bergantung harap. Seandainya tidak seperti yang kita inginkan maka yakinlah Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau yang memberiku kelancaran berbicara, namun hakikatnya hati ini juga rapuh dijerut rasa.

Wahai Pemegang hati,

tetapkanlah hatiku dalam ad-DeenMU.....

Wahai Pemegang hati,

Tetapkan aku dalam imanku. Berbaik sangka apa saja yang telah  ditakdirkan untukku.

Jumaat, 12 Februari 2021

Terapi Minda


 Menanam pokok dan melihat pokok-pokok yang ditanam mampu menjadi  terapi minda terbaik. Bayangkan kepenatan bekerja seharian, akan hilang dengan melihat pokok-pokok yang  segar. Jiwa menjadi tenang dan secara tidak langsung ia mampu menjadikan diri kita 'fresh" kembali. Jom lihat pokok-pokok yang ada di sudut kecil rumah saya.



Isnin, 26 Oktober 2020

Kasih Allah dan RahsiaNya


 Bismillahirahmanirrahim.

Perbualan melalui whatsapp dengan anak agak menyentuh hati. Walaupun dalam keadaan dia menerima sebuah kehilangan, namun jauh disudut hatinya terdapat juga sedikit kegusaran. Bukan tidak memahami, cuma kadang-kadang rasa sayang itu mengatasi segala-galanya.

 Hebat Allah memberi rasa itu. Rasa yang tidak berjisim tapi kita dapat merasakan kehebatannya.  Dan rasa itu begitu mendalam menyusuk ke hati apabila kita disayangi dengan sejujur-jujurnya. Sebab itulah ramai yang sanggup buat apa sahaja hanya untuk mendapatkan 'rasa' ini. Namun semua 'rasa' yang kita inginkan itu adalah rasa sesama manusia dan makhluk di dunia ini. Kalaulah  rasa sayang itu wujud antara kita dengan Pencipta dan Rasul, alangkah bertuahnya diri. Apabila kita sampai ke tahap itu, kita akan memahami hakikat kehidupan ini. Semua rasa yang Allah beri boleh dinikmati hanya kerana DIA. Sayang suami, sayang isteri, sayang ibu bapa , sayang anak dan sayang sahabat hanya kerana Allah kerana DIA lah mencipta insan-insan yang kita sayang dan DIA juga memasukkan rasa sayang ini. 

Apabila berlakunya perpisahan atau kehilangan orang yang dikasihi, rasa sedih itu tidak akan hilang sampai bila-bila tetapi dengan meyakini kasih sayang Allah mengatasi segala-galanya, maka kita dapat menerima hakikat kehilangan dengan hati yang lebih ikhlas.

Memang betul apa yang anak saya kata, " Antara kita semua ni akan rasa lagi next kehilangan, so camni je lah hidup"

Saya cuba fahamkan anak saya tentang erti sayang yang sebenar lebih-lebih lagi melibat keluarga sendiri.  Kalau benar-benar sayang, kita harus jaga semua yang Allah perintahkan tanpa ada sebarang pertikaian. Jaga solat, jaga aurat, jaga sikap,jaga semuanya mengikut syariat kerana dengan menjaga semuanya kita berusaha untuk jadi muslim yang baik. Allah menjanjikan doa anak-anak yang soleh akan sampai kepada ibubapa yang telah meninggal dunia. Berusahalah menjadi anak yang soleh. Selalu berniat , berdoa dan berusaha menjadi baik. Itulah nilai kasih sayang anak terhadap ibubapa dan sesama manusia....lillahi ta'ala . Bukan banyak persoalan kenapa dan mengapa. 

Kita kena selalu ingat, walau banyak mana kita menyayangi seseorang, tidak akan sama kasih sayang  Allah pada kita. Kita tidak perasan semua itu kerana sifat kita sendiri yang sangat lemah. Kita suka apa sahaja yang nampak di depan mata, ganjaran yang semerta, belaian dan kata-kata yang berbunga-bunga. Manusia memang lemah segala-galanya. Andai kita berusaha mencari kasih sayang Allah, kita dapat merasakan betapa banyak yang Allah beri walaupun adakala kita terlupa padaNya. Begitu juga dengan pengorbanan Nabi Muhammad saw terhadap umatnya. Dek kerana sibuk hal-hal dunia, kita teralpa untuk berselawat ke atasnya sedangkan kita mengharapkan syafaatnya kelak. 

Semoga kita semua sentiasa muhasabah dan cuba mengenali hakikat sebenar rasa cinta dan kasih ini. Lepaskan jasad orang yang kita cinta itu pergi dan simpan rasa cinta itu di dalam hati sebagai satu memori. Tidak salah kita mengingati kenangan yang terbina bertahun lamanya tetapi dalam masa yang sama kita harus mensyukuri setiap apa yang Allah pinjamkan seketika. Selalu berbaik sangka kerana terlalu banyak yang kita tidak tahu rahsia di sebalik kejadian.

Saya akhiri coretan ini dengan mengambil potongan ayat al Qur'an yang bermaksud:

“Dan disisi Allah tersimpan anak-anak kunci segala perkara ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Dia. Dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu yang ada di daratan dan lautan. Dan tiada sehelai daun yang gugur melainkan diketahui oleh-Nya. Dan tiada sebutir biji di dalam kegelapan-kegelapan perut bumi dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan semuanya tercatat di dalam sebuah buku yang amat jelas.” (QS. Al-An’am:59).